Tuesday 15 December 2009

PERNAFASAN: TENAGA BAGI PENGHASILAN TON

Pernafasan : Tenaga Bagi Ton Muzik

Prof Madya Hj Ahmad Fuad Ahmad Dahalan


Pernafasan adalah satu proses yang boleh dilakukan oleh setiap orang sejak dilahirkan. Namun begitu, apabila kita menggunakan pernafasan sebagai sumber tenaga bagi menghasilkan ton muzik yang lebih luas, proses semula jadi ini diganggu bagi menghasilkan kawalan yang diperlukan. Untuk bermain sesuatu alat, khususnya alat tiupan, kita harus melakukan perubahan-perubahan kawalan yang berbeza kepada proses semula jadi tersebut, iaitu pengambilan nafas atau ‘inhalation’ yang lebih cepat dari biasa dan pengeluaran nafas atau ‘exhalation’ yang lebih lambat dan terkawal secara sedikit demi sedikit berserta dengan tekanan yang lebih banyak.

Paru-paru mengandungi banyak pundi-pundi kecil. Setiap pundi-pundi tersebut mengandungi sedikit udara lebihan bagi mengekalkannya dari menguncup. Pengambilan udara terjadi apabila diafram bergerak ke bawah dan rangka bawah pula bergerak ke atas lalu menonjol keluar. Pergerakan ini mengurangkan tekanan kepada paru-paru.Tekanan udara luar yang lebih besar membolehkan udara menerjah ke dalam paru-paru. Mana-mana bahagian pundi-pundi paru-paru yang tidak mempunyai tekanan akan menyedut udara dari luar. Dalam perkara ini terdapat perbezaan pendapat tentang bagaimana cara pernafasan itu berlaku. Pernafasan di bahagian atas sahaja disebut sebagai pernafasan ‘clavicular’ berdasarkan ‘clavicle’ atau tulang bahu. Pernafasan di bahagian tengah disebut sebagai “costal” manakala abdominal atau diaframatik untuk bahagian bawah. Keadaan sebenarnya adalah kita menggunakan ketiga-ketiga bahagian pernafasan ini.

Bagi permainan alat-alat tiupan kita harus mengambil udara sebanyak mungkin, biasanya dalam masa yang singkat. Justeru itu, kita harus mengambil nafas dengan cepat, seperti kita mengambil nafas sewaktu kita terkejut atau kehairanan. Perlakuan ini menghasilkan pergerakan arah keluar yang ketara bagi bahagian bawah dan sekeliling tulang rangka, sewaktu diafram bergerak ke bawah. Apabila pengambilan udara ditambah, pengembangan terjadi di bahagian dada manakala tulang rangka bergerak keluar. Dalam perkara ini dua perkara harus dielakkan iaitu memasukkan abdomen ke dalam untuk mengisi kaviti dada dengan udara, dengan itu mengurangkan kapasiti untuk bernafas; dan, mengangkat bahu semasa pernafasan.

Dalam pernafasan normal, udara dilepaskan keluar sebaik sahaja selepas pernafasan dilakukan. Bagi permainan alat , satu langkah tambahan dimasukkan di antara pengambilan dan pengeluaran nafas. Langkah ini adalah untuk menahan pernafasan atau menghasilkan kawalan yang disebut sebagai suspensi. Suspensi menahan dan menentukan kedudukan diafram dan otot-otot abdomen supaya tekanan dapat dikawal bagi langkah seterusnya iaitu pengeluaran nafas. Pengeluaran nafas yang terkawal membuatkan otot-otot abdomen menjadi kukuh. Ini dapat digambarkan seperti mengejangkan otot-otot abdomen untuk menahan dari satu pukulan. Dengan sokongan ini, pernafasan boleh di pintal keluar menjadi satu aliran yang halus atau pun dengan tekanan yang kuat. Otot-otot diafram yang tidak disokong oleh abdomen akan menjadikan ton dan pic merosot serta lemah. Namun begitu, jika terlalu banyak tekanan digunakan, leher akan menjadi kejang. Ini mengakibatan pembaziran tenaga dan menyekat penghasilan ton yang bebas. Pengambilan udara yang cepat boleh diambil melalui tepi mulut dan bukan melalui alat, manakala pengambilan nafas yang lambat biasanya menggunakan mulut. Namun begitu, kedua-duanya boleh digunakan serentak. Lebih banyak dan cepat udara diambil, maka lebih besarlah bukaan mulut dan kerongkong berlaku.

Walaupun pengambilan nafas, suspensi dan pengeluaran nafas dapat dikuasai, masalah-masalah lain yang berkaitan dengan pernafasan masih boleh berlaku. Kadangkala pernafasan tidak mencukupi kerana frasa-frasa muzik atau lagu terlalu panjang. Justeru itu, tempat-tempat bernafas perlu dirancang dengan teliti. Pemain oboe atau klarinet misalnya mempunyai terlalu banyak nafas kerana alat ini tidak menggunakan nafas yang diambil dengan cepat. Ini mungkin membuatkan pemain alat tersebut melepaskan segera baki udara yang masih ada sebelum pernafasan seterusnya, atau membiarkan udara keluar melalui hidung sementara menggunakan pipi untuk meniup. Penggunaan hidung secara ini tidak digalakkan khususnya bagi pemain yang tidak berpengalaman. Oleh kerana dalam permainan sesuatu alat mengurangkan kekerapan pernafasan, beberapa masalah psikologi dan fizikal perlu di atasi. Kekuatan dalaman diperlukan untuk meneruskan permainan semasa kepenatan atau kelesuan yang disebabkan kekurangan oxygen. Kelesuan boleh mengurangkan kecergasan dan kewaspadaan pemain, sekaligus membawa kepada kesilapan dalam permainan seperti di penghujung petikan atau baris yang sukar. Kita boleh samakan perasaan panik seperti mengalami kelemasan dalam air; iaitu sewaktu kita kehabisan udara. Panik juga boleh membuatkan pemain yang kurang berpengalaman mengambil nafas hanya apabila selesa dan bukan apabila perlu. Pemain flut baru biasanya melangkaui suspensi dalam pernafasan dan biasanya akan merasai pening kerana terlalu banyak oxygen yang diambil. Ini membuatkan ton dimulakan dengan kuat, mencungap, syap dan terburu-buru.

Untuk mancapai kelicinan dalam permainan alat tiupan beberapa perkara harus diberi perhatian.

1. Elakkan menghasilkan penghujung lagu secara kasar dengan

menggunakan sepenuhnya baki udara yang ada pada not terakhir .

2. Elakkan melakukan pernafasan semula (re-enter) dan memperbahuruinya pula dengan kuat.

3. Elakkan pembaziran nafas pada beberapa not permulaan selepas

melakukan pernafasan, walaupun kita mempunyai udara yang banyak dan mencukupi.

4. Jangan membazirkan nafas dengan menggelabah dalam penjarian

kerana penjarian memang merupakan satu masalah.

5. Kenali respon alat yang dimainkan supaya kita boleh

merencanakan tekanan yang perlu bagi setiap not, justeru itu

mengimbangi kekuatan dan warna ton bagi not-not yang

berdekatan dan seterusnya.

6. Pastikan setiap ton diberi tenaga secukupnya. Pemain baru

biasanya tidak mengetahui berapa banyak tekanan yang perlu untuk menyokong sesuatu ton yang baik. Prinsip utama yang harus diingat adalah udara harus bergerak melalui alat berkenaan dan bukan sebaliknya.

Pergerakan udara yang terlalu sedikit ke dalam alat reed atau flut akan menghasilkan ton yang lemah, flet serta kekurangan ciri-ciri yang sepatutnya. Kualiti ton yang dihasilkan juga tidak menunjukkan ciri-ciri warna ton alat tersebut. Not-not pada register atas tidak dapat dihasilkan dengan baik, atau sekiranya dapat dihasilkan akan menjadi flet. Biasanya keseluruhan skel akan menyimpang dari tiun sebenar. Not-not paling fleksibel (yang menggunakan tiub-tiub pendek) akan menjadi flet jika dibandingkan dengan yang memerlukan banyak jari untuk menekan kekunci alat . Respon dalam tujahan (attack) pula akan menjadi lebih lambat.

Sebaliknya, tekanan udara yang terlalu banyak pula akan menghasilkan ton yang tersekat-sekat. Pada flut ianya akan menjadi terlalu syap terutama sekali pada not-not yang memerlukan sedikit lubang ditutup manakala bagi register rendah pada klarinet akan menjadi flet. Sekiranya terlalu sedikit sokongan bibir digunakan pada alat-alat reed serta pernafasan dipaksa, ton yang dihasilkan akan menjadi kasar.

Dalam permainan bahagian atau petikan yang memerlukan koordinasi serta kepantasan yang tinggi pemain perlu mempunyai pernafasan yang cukup untuk melakukan respon pada not-not dengan mudah dan mengelak dari mematahkan tiupannya dengan pernafasan. Sekiranya ini tidak dipatuhi pernafasan boleh menganggu aliran irama yang diperlukan bagi koordinasi jari dan boleh mengakibatkan permainan yang kurang baik dan janggal.

Kebimbangan pentas boleh memberi kesan kepada kebolehan seseorang pemain. Oleh kerana seseorang menggunakan lebih banyak oxygen apabila ia dalam kebimbangan atau ketakutan, ia mungkin tidak mampu bertahan dalam satu nafas seperti yang dapat dilakukan dalam keadaan normal. Kesan sampingan lain bagi kebimbangan pentas adalah kekeringan dalam mulut (atau sebaliknya) dan tangan serta jari atau lutut atau kedua-duanya menggeletar. Tapak tangan menjadi basah dan licin. Kemungkinan timbul keinginan untuk menguap atau reaksi-reaksi fizikal lain adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Simpton ini boleh juga melemahkan semangat pemain-pemain yang berpengalaman.

Terdapat beberapa prinsip asas yang menentukan tempat pernafasan. Antaranya ialah:

1. Kekurangan fizikal pemain

Ini berbeza di antara individu khususnya dari segi darjah kekuatan. Justeru itu, pemain dinasihatkan untuk tidak membuat frasa-frasa yang terlalu panjang sehingga menghadapi kesesakan nafas .

2. Rangkaian muzik harus dikekalkan.

Pergerakan semula jadi di antara not-not tertentu seharusnya tidak diganggu oleh pengambilan nafas.

3. Sekiranya kekurangan fizikal memaksa seseorang pemain untuk bernafas, ia harus memilih tempat yang paling kurang mendatangkan masalah seperti :

a) Selepas not-not panjang walaupun mempunyai slur.

b) Not pertama selepas garis bar pertama supaya detik yang pertama dimainkan dengan sempurna .

c) Di antara not-not di dalam jeda yang besar.

d) Di antara not-not yang terpisah (walaupun untuk pernafasan yang pendik)

e) Apabila sesuatu petikan mempunyai mempunyai slur yang tidak begitu panjang, pernafasan boleh dilakukan di beberapa tempat yang berbeza dengan memilih tempat yang mempunyai kumpulan not yang sesuai. Namun begitu perhatian harus diberi kepada kaitan harmoni dan pergerakan garis melodi tersebut.

Tandakan bahagian-bahagian di mana pernafasan boleh dilakukan. Pernafasan seharusnya tidak menjadi perkara yang berkeserampangan. Ia harus dirancang terlebih dahulu seperti seperti bowing pada permainan alat bertali. Ketetapan tempat untuk pernafasan menjadi cabaran yang besar walaupun kepada artis-artis terbaik. Kesemua pemain tidak boleh bernafas di tempat yang sama. Sesetengan pemain mempunyai kapasiti paru-paru yang lebih besar dari yang lain. Alat-alat seperti flute dan saxophone rendah misalnya menggunakan lebih banyak udara dari yang alat lain seperti oboe dan klarinet kecil.

Apabila dua atau lebih pemain bagi alat yang sama memainkan bahagian pernafasan yang sama, kesan frasa-frasa yang panjang boleh dihasilkan melalui pernafasan bersilang secara berganti-ganti antara pemain. Sekiranya kaedah ini digunakan pemain harus memasuki semula selepas pernafasan tanpa penglidahan (tonguing) secara licin yang mungkin.

Satu kesan ton yang berterusan boleh dihasilkan oleh pemain oboe dengan menggunakan pipi sebagai bahagian meniup manakala hidung digunakan untuk mengambil nafas. Ini disebut sebagai pernafasan ‘circular ‘. Namun begitu, ianya adalah tidak praktikal pada alat-alat yang memerlukan pernafasan yang pantas.

Penutup

Asas untuk pernafasan yang baik adalah menggerakkan udara seberapa banyak ke dalam paru-paru semasa pengambilan nafas (inhalation), dan mampu menggerakkan udara yang sama keluar dari paru-paru dengan cara yang sesuai semasa pengeluaran nafas (exhalation). Namun begitu fokus utama adalah kepada matlamat permainan atau persembahan, dan bukan terlalu sangat kepada proses fisiologi. Pernafasan seperti yang kita sedia ketahui adalah fungsi semula jadi. Ianya harus dipelajari dan di amalkan dengan cara yang betul supaya setiap kelemahan dapat diatasi seawal mungkin.

Rujukan

Eisenson, Jon. Diaphragmatic Breathing. Symphony (March 1951). p. 8

Maxym, Stephen. The Technique of Breathing for Wind Instruments. Woodwinds

(Jan – April, 1953)

Morris, Ganeth (1991). Flute Technique. Oxford University Press.

Thurston, Frederick (1985). Clarinet Technique. Oxford University Press.

Westphal, Frederick (1998). Guide To Teaching Woodwinds, Fifth Edition.New York:

McGraw-Hill, Inc.

1 comment: