Sunday 13 December 2009

TAMADUN PERIBUMI DARI ASPEK BUDAYA DAN HIBURAN

oleh: Prof Madya Ahmad Fuaad Ahmad Dahalan
PENDAHULUAN

Pertumbuhan tamadun manusia adalah bersifat evolusi, kompleks dan tidak seragam. Ini bererti tamadun manusia boleh diklasifikasikan dalam beberapa ‘tahap’ tertentu yang selalunya didasarkan pada tahap teknologi yang digunakan oleh manusia pada sesuatu tahap itu. Perkembangan dari tahap pertama kepada tahap kedua bererti meningkatnya tamadun manusia. Ukuran kemajuan tamadun manusia didasarkan pada jenis perlatan yang digunakannya. Peralatan yang dibuat daripada besi dikatakan lebih maju daripada peralatan yang diperbuat daripada batu. Konsep ini telah diterima pakai untuk semua bidang termasuklah budaya dan hiburan sesebuah masyarakat yang bertamadun.

Kemampuan manusia menyesuaikan diri dengan perubahan alam sekeliling banyak bergantung pada wujudnya satu sistem kehidupan yang bersistem atau yang juga dikenali sebagai budaya. Budaya boleh ditakrifkan sebagai satu pola cara-cara dan kaedah sesuatu golongan atau masyarakat berusaha memenuhi keperluan asasi mereka. Budaya juga boleh diertikan sebagai tahap pencapaian atau kemajuan hidup manusia itu sendiri.

Hiburan biasanya dirujuk kepada dunia muzik sama ada berbentuk muzik instrumental ataupun muzik vokal yang mengiringi tarian dan seni lakon. Muzik di dunia ini digambarkan dengan berbagai-bagai istilah termasuk kata sifat seperti moden, kontemporari, rakyat, kesenian, klasik, pop atau popular, sinkretik, transnsional, acculturated, bandaran dan lain-lain.

Di negeri-negeri di Malaysia terdapat banyak bentuk muzik yang mencerminkan ciri-ciri asli dan juga pengaruh luar yang telah diserap ke dalam masyarakat. Mengikut ahli antropologis Redfield, perkembangan tradisi budaya dan hiburan berkembang pada dua peringkat iaitu di bandar dan di desa.

2.0 MASYARAKAT PERIBUMI

Peribumi boleh dirujuk kepada kumpulan-kumpulan etnik yang natif kepada sesuatu wilayah yang dituntut dan dipertahankan. Di Malaysia, undang-undang telah memperuntukkan bahawa masyarakat peribumi adalah terbahagi kepada dua kategori iaitu ‘bumiputera’dan ‘Orang Asli’.

Golongan yang diklasifikasikan sebagai ‘bumiputera’ termasuklah Orang Melayu di Semenanjung, Orang Melayu di Sarawak (Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Melanau, Murut) dan Orang Melayu di Sabah (Kadazan, Dusun, Bajau) serta penduduk natif lain di Sarawak dan Sabah. ‘Orang Asli’ pula terdiri daripada tiga etnik utama iaitu kaum Negrito, Senoi dan Melayu Asli.

Setiap suku kaum peribumi mempunyai budaya yang berbeza dan hiburannya yang tersendiri berdasarkan kemajuan dan pembangunan yang dicapai oleh sesuatu kaum itu.

3.0 SEJARAH PERKEMBANGAN BUDAYA DAN HIBURAN

Pergerakan manusia dari benua Asia ke kepulauan Pasifik membawa “Melayu Proto” ke Semenanjung Malaysia dalam kurun 3000 Sebelum Masihi (SM). Mereka diikuti oleh “Melayu –Deutro” dalam kurun 300 SM yang bergerak ke kawasan pergunungan dan hutan. Mereka meneroka lembah dan dataran yang lebih subur. Orang Asia Tenggara umumnya dan Melayu serta orang Indonesia khasnya berasal daripada Melayu-Proto dan Melayu- Deutro[1]. Keturunan Melayu –Proto dan Melayu-Deutro mencipta berbagai-bagai jenis permainan dan ritual untuk memberikan makna kepada kehidupan mereka. Mereka percaya bahawa sungai, pokok, bukit, gunung dan hutan mempunyai semangat dan untuk menentukan keharmonian dan keseimbangan semangat ini dengan penduduk serta ritual-ritual tertentu turut diadakan. Berdasarkan kepercayaan inilah maka budaya masyarakat peribumi dibentuk dan pada kebiasaannya kebanyakan hiburan yang diwujudkan adalah lebih bertujuan untuk upacara-upacara ritual yang bersangkut paut dengan roh dan semangat bagi mendapat perlindungan dan mengelak daripada ditimpa kecelakaan. Kepercayaan ini masih lagi dipegang kuat oleh sebilangan etnik pribumi di Malaysia seperti persembahan wayang kulit di mana dalang menyaji jampi serapah dan makanan kepada semangat kampung untuk mendapat restu dan perlindungan ketika persembahan dijalankan. Proses modenisasi yang pesat dan penggunaan teknologi canggih ketika ini tidak mampu melenyapkan sesetengah kepercayaan kuno dalam kehidupan masyarakat pribumi.

Interaksi kebudayaan antara negara-negara dunia Melayu lama seperti Malaysia, Indonesia, sebahagian Thai, Kampuchea dan Filifina serta dari Timur Tengah, India dan China telah memberi kesan ke atas perkembangan budaya dan muzik masyarakat pribumi ketika itu. Interaksi ini telah mewujudkan kepelbagaian bentuk muzik di Malaysia sehingga kehari ini walaupu telah mengalami pelbagai pengaruh daripada pelbagai kuasa.

Budaya dan hiburan berasaskan kepercayaan animesma dan ritual masyarakat pribumi begitu ketara dengan kedatangan pengaruh Hindu melalui pedagang-pedagang India yang berniaga di kawasan ini beberapa kurun sebelum masihi. Walaupun bentuk ritual ini tidak dapat dipastikan dengan jelas, namun ia boleh dianggap sebagi permulaan dan asas bentuk-bentuk teater yang wujud ketika ini. Pengaruh Hindu amat ketara dalam persembahan wayang kulit terutamanya kisah-kisah yang menceritakan mengenai epik Ramayana dan Mahabrata dan dalam upacara wayang kulit yang antara lain merujuk kepada dewa-dewa Hindu. Alat-alat muzik seperti gendang dan serunai juga mempunyai kaitan dengan alat-alat muzik Hindu.

Pengaruh hindu menjadi lebih penting dengan penubuhan kerajaan Hindu Funan (1-627 T.M) yang terletak di Delta Mekong dan cawangan-cawangannya di Langkasuka dan Kedah di Semenanjung Malaysia serta di negara-negara lain oleh pelakon-pelakon bangsawan. Kerajaan Funan digantikan dengan kerajaan Sriwujaya yang terletak di Palembang, Sumatera Selatan. Selepas kejatuhan Sriwijaya, muncul kerajaan Hindu Majapahit dalam tahun 1929 yang berkuasa selama satu kurun dan selepas itu ia digantikan pula oleh kerajaan Melaka yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Keempat-empat kerajaan dan jajahan (Funan, Sriwijaya, Majapajit dan Melaka) merangkumi kawasan yang sekaranag ini membentuk kepulauan Indonesia, Malaysia, negara Thai, Filipina dan sebahagian daripada negara Indocina yang pada keseluruhannya dianggap sebagai satu kawasan kebudayaan iaitu “Hindu Melayu Lama”. Pada zaman kegemilangan tiap-tiap kerajaan ini, berlaku kegiatan-kegiatan perdagangan dan pertukaran budaya di antara mereka. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila terdapat persamaan dalam seni teater di negeri-negeri di rantau ini.

Pada permulaan kerajaan Melaka (1402-1403), seni teater Malaysia dan Indonesia bercorak Hindu. Kedatangan agama Islam ke rantau ini, terutama di Indonesia dan Malaysia, unsur-unsur Hindu mula dihakis. Pedagang Arab dan orang India Muslim telah berdagang dengan kerajaan Sriwijaya semenjak kurun ke-13 dan dalam masa yang sama, Perlak dan Pasai di Sumatera Utara telah di Islamkan. Di sinilah agama Islam di bawa ke Melaka. Raja Melaka telah mengahwini puteri pasai lalu memeluk Islam dan menukarkan namanya kepada Megat Iskandar Shah (1414). Dari Melaka Islam tersebar ke seluruh Semenanjung dan dalam jangka masa 50 tahun, Melaka kukuh sebagi tempat penyebaran agama Islam.

Semasa Islam mula bertapak di dunia Melayu lama, seninya berunsur Hindu dan animisme. Selepas Islam mula tersebar, ciri-ciri Islam telah diterapkan ke dalam persembahan-persembahan hiburan seperti seni teater di mana ayat-ayat Quran diserapkan ke dalam jampi serapah yang dilakukan pada permulaan pementasan dan legenda-legenda Islam ditambah dalam kumpulan cerita yang dipersembahkan.

Di samping kejayaan mengatasi unsur-unsur animisme dan Hindu dalam teater tradisi, Islam juga memperkenalkan bentuk-bentuk nyanyian yang mengagungkan Allah, Nabi Muhammad (s.a.w) dan para sahabat. Hari ini persembahan ini dikenali sebagi hadrah, rodat, dabus dan dikir rebana. Kesemuanya berbentuk nyanyian berkumpulan yang diiringi rebana dan gong.

Selain daripada pengaruh Hindu dan Islam, Malaysia juga dipengaruhi oleh negara jirannya iaitu Indonesia dan Thai. Pendatang Indonesia, orang Jawa, Minangkabau, Acheh, Bugis dan Sumatera membawa bersama-sama mereka beberapa bentuk tradisi yang sekarang wujud di Malaysia Pendatang ini berkelompok di bahagian dalam semenanjung iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Di Batu Pahat, Johor, orang –orang Jawa dan Minang sangat terkenal dengan hiburan berbentuk seni lakon iaitu Wayang Kulit Jawa (Wayang Purwa) yang mempunyai perbezaan daripada wayang kulit yang terdapat di Kelantan dan di Kedah. Bentuk-bentuk persembahan lain yang berasal dari Jawa ialah ketoprak (dramatari), kuda kepang dan angklung.

Di Terengganu dan Pahang terdapat dua jenis permainan yang berasal dari Indonesia. Joget gamelan dibawa oleh orang Bugis dari Kepulauan Riau. Tarian ini mempersembahkan cerita-cerita Jawa Kuno, seperti Raden Galoh Cendera Kirana dan Raden Inu Kertapati. Rodat pula dibawa masuk dari Acheh, Sumatera melalui Sambas Borneo ke Terengganu[2].

Di samping pengaruh Indonesia di Selatan, Malaysia juga di pengaruhi di bahagian utara oleh negeri Thai. Selepas kejatuhan kerajaan Sriwijaya pada tahun 1403, negara Thai menakluk keseluruhan Semenjung Malaysia dan memaksa sultan-sultan Melayu menghantar bunga emas tiga tahun sekali sebagai tanda penaklukan. Pada masa kerajaan Melaka, pengaruh Thai terhad di sekitar Utara Semenanjung Malaysia. Walaupun mereka menawan negeri Kedah pada tahun 1921 dan cuba menakluk Perak dan Selangor pada tahun 1822, rancangan mereka dihalang oleh pihak British yang menghantar beberapa buah kapal perang ke muara Sungai Terang.

Sepanjang kurun ke-19, negara Thai mencuba dengan sedaya upaya menegaskan kedaulatannya ke atas Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan terengganu. Pada tahun 1842, umpamanya negara Thai memulangkan takhta kerajaan Sultan Kedah dengan syarat meneruskan penghantaran bunga emas. Tetapi dalam tahun 1860an negara Thai memberhentikan usaha memperluaskan jajahannya serta menghentikan rancanagan menakluk negeri Thai memulangkan Kedah , Perlis, Kelantan dan terengganu kepada British.

Selama lebih daripada 500 tahun negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia telah berulang kali dipengaruhi oleh politik dan kebudayaan Thai. Maka tidak hairanlah jika bentuk-bentuk teater tradisi di utara mempamerkan unsur-unsur Thai seperti dalam wayang kulit Siam yang terdapat di Perlis, Kedah, Kelantan dan di sebahagian terengganu. Bentuk patung hampir serupa dengan patung wayang Nang Talung, sementara dua jenis gendang, geduk dan gedombak memang sama dengan alat-alat yang digunakan oleh kumpulan muzik nang talung. Jampi serapah Tuk Mahasiko (watak mistik dalam wayang kulit) juga dilafazkan dalam bahasa Thai.

Sebuah lagi teater tradisional Thai, yang telah meresapi ruang budaya Malaysia ialah menora (manohara), dramatari yang mempersembahkan cerita-cerita Jataka Buddha. Bentuk ini popular di sini. Apabila negara Thai menakluk bahagian utara semenanjung, kumpulan menora yang terdapat di sempadan pada masa itu, mempamerkan percantuman unsur-unsur Thai dan melayu dan persembahan mereka.

Makyung merupakan satu lagi teater tradisi yang membuktikan wujudnya pengaruh Thai. Berasal dari kawasan yang sama dengan menora, perkembangan makyung lebih giat di Malaysia daripada di negara Thai sendiri. Pengaruh Thai dapat dilihat dengan jelas melalui pergerakan jari, kedudukan kaki dan penggunaan alat-alat muzik seperti geduk dan gedombak.

Pengaruh penting yang terakhir ke atas budaya dan hiburan tradisi rantau ini ialah dari Barat. Orang-oarang barat atelah memperkenalkan kebudayaan mereka termasuklah tarian dan muzik. Orang Portugis membawa masuk biola dan gitar sementara orang Inggeris mempopularkan alat-alat muziak Barat yang lain seperti piano, trumpet, seksafon dan alat-alat muzik orkestra yang lain. Sehingga kini muzik di Malaysia masih lagi berpandukan teori-teori dan gaya penciptaan muzik Barat.

Selain daripada pengaruh awal Hindu, Arab dan akhirnya penjajah barat ke atas seni tradisi Asia tenggara, dua pengaruh utama ke atas seni teater tradisi Malayu datang dari dua arah dari utara iaitu Thai dan dari Selatan iaitu Indonesia. Para cendikiawan telah merumuskan bahawa seni tradisi Malaysia adalah berbentuk derivative. Tetapi kita harus sedar bahawa bentuk-bentuk yang serupa seperti wayang kulit, gendang keling dan sebagainya berkemungkinan telah muncul dan berkembang di Malaysia. Oleh itu janganlah kita mengetepikan kemungkinan perkembanagn serentak bentuk-bentuk seni tradisi yang sama di kawasan-kawasan yang berlainan.

4.0 JENIS MUZIK DALAM KONTEKS BUDAYA DAN MASYARAKAT

Di negeri-negeri di Malaysia terdapat banyak bentuk muzik yang mencerminkan ciri-ciri asli dan juga pengaruh luar yang telah diserap ke dalam masyarakat[3]. Pada umumnya kita boleh menentukan muzik sebagai muzik klasik (biasanya di Asia Tenggara muzik ini dihubungkaitkan dengan budaya di Istana), muzik rakyat, muzik seni dan muzik popular. Tetapi kegunaan istilah-istilah ini sebenarnya bergantung kepada keadaan sosial, ekonomi, politik dan jenis budaya di mana seni muzik diperkembangkan.

Teori budaya yang mengistilahkan ‘budaya rakyat’ dan ‘budaya istana’ sebagai dua jenis budaya tertentu telah digunakan oleh ahli antropilogois dengan menonjolkan ciri-ciri tertentu. Budaya rakyat biasanya dibezakan daripada budaya istana atau budaya klasik. Istilah lain juga memperbezakan kedua-dua jenis budaya ini dalam peradaban, misalnya istilah ‘tradisi kesil’ (budaya rakyat) dan ‘tradisi besar’ (budaya istana)[4]. Dalam hampir semua tamadun di dunia ini kedua-dua tradisi ini wujud serentak.

Menurur Redfield, tradisi besar berkembang melalui penulisan yang diajar secara sedar dan sistematik di sekolah-sekolah, masjid atau rumah berhala, dan istana[5]. Tradisi besar biasanya terdapat di kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan bandar. Komunikasi secara bertulis dan juga kegunaan teknologi semasa di antara anggota-anggota dalam masyarakat lebih diutamakan. Oleh sebab itu kesedaraan teori dan sejarah diketahui dengan jelas.Tradisi ini menonjolkan ciri-ciri kehalusan dan profesional dalam masyarakat bandar atau istana yang mengutamakan kepentingan institusi sosial dan kerajaan. Masyarakat bandar ini boleh mengalami perubahan secara pantas yang mementingkan daya cipta individu.

Tradisi kecil diperturunkan secara lisan di kampung-kampung dan kawasan desa secara bersahaja. Tradisi kecil yang berhubungkait dengan budaya rakyat didokong oleh masyarakat yang biasanya tinggal di kawasan desa. Komunikasi secara lisan di antara anggota-anggota dalam masyarakat lebih diutamakan walaupun sistem bertulis boleh wujud. Oleh itu kesedaran sejarah kurang jelas kerana tradisinya diperturunkan secara lisan sahaja. Perhubungan dan perlakuan anggota-anggota budaya rakyat dikawal oleh undang-undang yang dipersetujui bersama oleh mereka. Tambahan pula, masyarakat dalam tradisi kecil mengalami perubahan secara perlahan-lahan sahaja dalam masa yang panjang. Bekerjasama, berusaha dan bertindak secara komunal merupakan satu lagi ciri khas dalam tradisi kecil dan budaya rakyat.

Kedua-dua jenis ini slaing bergantung dan sentiasa mempengaruhi di antara satu sama lain. Dengan cara itu, sistem penulisan yang biasanya terdapat dalam tradisi besar boleh wujud dalam satu-satu kebudayaan yang tertentu yang mengekalkan banyak ciri budaya rakyat. Justeru itu ia dijeniskan sebagai budaya rakyat. Para antropologis berpendapat bahawa budaya rakyat juga telah lama berhubung dengan budaya istana yang menjadi pusat pemikiran dan perkembangan institusi sosial, ekonomi dan politik sejak beratus-ratus tahun.

Muzik boleh dikategorikan kepada beberapa jenis muzik seperti muzik kontemporari seni dan popular, muzik sinkretik, muzik klasik, dan muzik rakyat.

5.0 PERANAN MUZIK DALAM MASYARAKAY PRIBUMI

Pada zaman sebelum penjajahan British, tanah melayu terdiri dari negeri-negeri Melayu yang telah berkembang di sekitar lembah sungai-sungai yang besar. Setiap negeri adalah di bawah pemerintahan seorang Raja atau Sultan. Negeri-negeri ini telah dibahagikan kepada daerah-daerah yang diketuai oleh penghulu. Hasil pendapatan setiap penghulu dan Sultan berasaskan cukai yang dipungut daripada peniaga-peniaga yang lalu di sungai-sungaiutama dan anak-anak sungai. Penghulu juga boleh mengerah rakyat yang tinggal di kampung-kampung yang merupakan unit kehidupan sosial untuk sesuatu kerja. Kebnayakan penduduk kampung bekerja sebagai petani atau nelayan. Selain daripada orang Melayu terdapat juga orang asli dalam bilangan yang kecil dan tinggal di hutan rimba (Gullick 1981)

Dalam zaman ini kedua-dua kesenian istana atau (kesenian tinggi) dan kesenian rakyat wujud di tanah melayu. Muzik dan tarian klasik di persembahkan di istana-istana untuk hiburan Sultan dan kaum bangsawan. Misalnya, Gamelan mengiringi tarian joget gamelan di istana Melayu di Riau- Lingga dan Pahang. Penari asyek menghiburkan Raja Kuning, seorang permaisuri terkenal dari Patani. Nayanyian yang diiringi rebana, gong dan kecapi juga merupakan hiburan yang disukai di istana (D’Cruz 1979, Sheppard 1972, Kassim Ahmad 1973). Kesenian bertaraf tinggi ini dipersembahkan oleh pemain muzik dan penari yang diberi latihan sejak kecil lagi.

Muzik istana juga berfungsi untuk menyokong dan menghasilkan kuasa seseorang Sultan. Alat-alat muzik nobat yang dihormatkan sebagai alat suci dan yang dipercayai mempunyai kuasa luar biasa dimainkan diupacara-upacara istimewa seperti istiadat pertabalan atau pemakaman Sultan. Apabila seseorang rakyat mendengar bunyi nobat, dia harus berhenti bekerja seolah-olah Sultan berada di hadapannya (Mohd. Taib Osman 1984).

Selain daripada kesenian istana, terdapat juga kesenian rakyat seperti wayang kulit, makyong, menora, mek mulung, tarinai dan tumbuk kalang yang dipersembahkan oleh rakyat di majlis-majlis perayaan seperti majlis perkahwinan dan kelahiran, selepas musim menuai padi dan apabila seseorang itu sakit. Namun demikian, Sultan akan menaungkan kesenian rakyat ini secar tidak langsungdengan mengadakan persembahan teater dan tarian rakyat di taman istana semasa perayaan besar seperti perayaan perkahwinan, pertabalan atau hari raya. Contohnya pada awal abad ke dua puluhan, Tengku Temenggungg Ghafar, iaitu seorang bangsawan, telah mendirikan sebuah kampung seni yang dipanggil Kampung Temenggung di kawasan istana Kelantan. Kumpulan-kumpulan wayang kulit, menora dan makyong yang terpilih dapat tinggal, berlatih dan mengadakan pertunjukan di kawasan itu. (Ghulam 1976).

Pada waktu pra penjajahan British, struktur politik dan corak organisasi penduduk Sarawak dan Sabah berbeza daripada yang terdapat di Tanah Melayu. Penduduk- penduduk terdiri daripada kaum Muslim yang tinggal berdekatan dengan kawasan pantai dan kuala sungai. Ada pula kaum lain yang tinggal di rumah panjang yang terkumpul sebagai kampung kecil dan berselerak dari kawasan pantai ke kawasan pedalaman. Kaum muslim yang tersebar termasuk Bajau di Sabah dan Kedayan, Melanau serta Melayu di Sarawak. Mereka bekerja sebagai nelayan untuk mencari nafkah. Kaum lain di kawasan pedalaman ynag menerima sebaran Islam termasuk Kadazan di Sabah dan Iban serta Murut di Sarawak. Mereka menanam padi secara tanam pindah. Corak pihak berkuasa berbeza dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain. Kebanyakan kumpulan mempunyai ketuanya sendiri yang dipilih kerana kualiti peribadi tinggi atau kerana berketurunan keluarga yang dihormati (Gullick 1981).

Disebabkan di Sabah dan Sarawak tidak terdapat Sultan (kecuali Brunai), maka semua kesenian yang terdapat sebelum penjajahan British adalah kesenian Rakyat. Kesenian ini adalah terdiri daripada tarian dan muzik seperti tarian ngajat, datun julud, ensembel gong, ensembel antan dan lesung dan lain-lain lagi yang dipersembahkan oleh kaum-kaum sebagai hiburan dan untuk menyembuhkan pesakit. Muzik dan tarian juga dipersembahkan di majlis-majlis perayaan dan selepas musim menuai padi.

Kebanyakan orang asli di semenanjung lebih terkenal dengan muzik sewang. Muziknya dihasilkan daripada sepasang buluh (panjang dan pendek) yang diketuk pada sebatang kayu secara bersilih ganti yang dipanggil lecentau. Bangsi merupakan alat tiupan yang dimainkan dengan menggunakan hidung. Boleh dikatakan muzik sewang di klangan orang asli hampir sama peralatan muzik yang digunakan, cuma terdapat sedikit perbezaan sama ada corak iramanya ataupun cara persembahnnya sahaja berbeza daripada setiap kaum.

Tujuan muzik sewang dimainkankan adalah bertujuan untuk memuja roh atau semanagat bagi meminta banguan keselamatan, perbomohan untuk mengubat pesakit, menyambut tahun baru dan juga keraian majlis perkahwinan. Tradisi ini terus diamalkan oleh kaum asli walaupun di zaman yang serba moden ini. Pengaruh barat turut melibatkan kaum asli yang mana masyarakat asli ketika ini sudah begiat dalam kumpulan pancaragam sepertimana lahirnya kumpulan Jermol. Dapat dikatakan di sini pertautan antara hiburan dan masyarakat orang asli amatlah erat dimana hiburan adalah santapan jiwa mereka dan merupakan alat perhubungan dengan kuasa-kuasa ghaib.

Pada masa kini, kedua-dua kesenian istana dan rakyat di Malaysia dikenali sebagai kesenian tradisonal. Walaupun kesenian klasik dan rakyat telah lama berkembang di kalangan masyarakat yang pelbagai kaum, sejarah perkembangan muzik tersebut berbeza walaupun mempunyai beberapa ciri yang sama.

Ciri perbezaan ini dapat dilihat daripada tempat perkembangannya. Teater, muzik dan tarian klasik hanya terdapat di daerah- daerah tertentu. Umpanaya wayang kulit Siam, makyong, menora dan tarinai dipersembahkan di negeri-negeri utara Semenanjung manakala tumbuk kalang dan caklempong terhad kepada Negeri Sembilan. Muzik ensembel gong besar terdapat di Sabah dan Sarawak sahaja.

Persembahan teater, muzik dan tarian diadakan bukan sahaja bukan untuk hiburan rakyat semata, tetapi berfungsi ritual terutama di zaman lampau.Kesenian rakyat mempunyai perkaitan rapat dengan upacara agama. Misalnya wayang kulit, tarian sumazau dan tarian serta muzik mengarang dipersembahkan sebagai kesyukuran kepada semnagat padi selepas musim menuai, sedangkan pementasan makyong, main puteri dan lagu ritual dengan iringan hentakan tiub buluh biasanya diadakan untuk menyembuhkan penyakit. Persembahan teater juga dipersembahkan sebagai tanda kesyukuran dan permintaan kuasa luar biasa yang boleh membawa kemusnahan kepada tanaman dan kemalangan kepada manusia. Oleh itu, upacara buka panggung diadakan permulaan setiap persembahan. Ketika ini kebanyakan kesenian tradisional seperti wayang kulit, tumbuk kalang dan ensembel gong besar hanya dipersembahkan untuk hiburan sahaja dan tidak lagi mempunyai fungsi ritual.

Persembahan juga berfungsi sosial. Rakyat dapat bergaul secara informal pada waktu persembahan wayang kulit, makyong, mek mulung dan lain-lain. Mereka duduk atau berdiri di sekeliling pentas yang dipanggil teater in the round. Mereka bercakap sambil makan semasa menonton pementasan. Di Sarawak persembahan diadakan di ruai rumah panjang. Orang kampung bercampur gaul semasa mendengar bunyi antan dan lesung, muzik gong dan muzik buluh. Persembahan memajukan kerukunan masyarakat.

Cerita diturunkan dari satu generasi ke generasi lain secara lisan. Cerita-cerita wayang kulit berasaskan epik Hindu seperti Ramayana dan Mahabrata serta lagenda tempatan manakala cerita-cerita makyong dan mek mulung pula berdasarkan cerita rakyat melayu. Percintaan romantis, kelucuan, peperangan, khayalan dan kemenagan kebaikan atas kejahatan merupakan unsur-unsur penting dalam sesebuah cerita.

Dalam zaman ini banyak karya –karya yang dihasilkan aalah berasaskan idiom Barat. Namun demikian, unsur-unsur muzik tradisonal juga turut diselitkan agar ia dapat diterima dengan budaya dan norma masyarakat Malaysia.

6.0 PENUTUP

Budaya dan hiburan masyarakat pribumi di Malaysia merupakan hasil daripada gabungan muzik dan budaya serumpun Kepulauan Melayu. Pengaruh yang dibawa oleh pendatang-pendatang asing, terhadap budaya dan hiburan masyarakat peribumi di Malaysia khasnnya telah memikat hati masyarakat pribumi ketika itu. Masyarakat Melayu mendapati bahawa kelembutan budaya yang dibawa oleh Islam adalah sesuai dengan peradaban orang-orang Melayu yang penuh dengan ciri-ciri ketimuran.

Perubahan amalan budaya yang berkait rapat dengan kepercayaan dan pegangan agama adalah lambang ketamadunan sesuatu kaum. Semakin maju sesuatu kaum itu maka, semakin realistik tindakannya dalam menentukan nilai yang perlu dipatuhi dan diikuti agar amalan yang baik menjadi budaya yang sihat di dalam sesebuah masyarakat.

RUJUKAN

Amin Sweeney.(1994). Malay Word Music: A Celebration of Oral Creativity. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Curt Sachs.(1940). The History of Musical Insruments. New York: W.W. Norton & Co.

Inc.

Margaret Park Redfield.(1962). The Folk Society: Human Nature and The Study of

Society. Peny: Chicago Press.

Mohd. Ghouse Nasuruddin.(1994). Tarian Melayu.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Mohd. Taib Osman (1984). Bunga Rampai: Aspects of Malay Culture. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Robert Redfield (1959). Peasant Society and Culture. Chicago & London: University of

Chicago Press.

William P.Malm.(1967). Music Cultures of the Pacific, the Near East, and Asia. New

Jersey: Prentice-Hall, Inc.



[1] William P.Malm (1967). Music cultures of the Pacific, the Near East, and Asia. New Jersey: Prentice-Hall, Inc.

[2] Curt Sachs (1940). The History of Musical Insruments. New York: W.W. Norton & Co. Inc. hlm 248.

[3] Menurut ahli antrapologis di Malaysia, muzik ini boleh dibahagi kepada dua kategori utama iaitu muzik moden dan muzik tradisional. Muzik moden merujuk kepada muzik yang diasaskan kepada muzik Barat dengan mengutamakan alat-alat muzik seperti piano, violin, gitar dan lain-lain. Muzik Tradisional ialah muzik yang telah wujud selama beberapa keturunan dengan menggunkan alat-alat muzik dan ciri-ciri muzik dan ciri-ciri muzik yang berasal dari kawasan Asia Tenggara. Mohd. Taib Osman (1984). Bunga Rampai: Aspects of Malay Culture. Kuala Lumpur: dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 208

[4] Robert Redfield (1959). Peasant Society and Culture. Chicago & London: University of Chicago Press. ms. 60 – 104; dan The Folk Society dari Human Nature and The Study of Society, Margaret park Redfield, peny. (Chicago Press, 1962, ms. 231-253.

[5] Robert Redfield. Peasant Society and Culture.

No comments:

Post a Comment